KUALA KRAI: Perbuatan seorang penoreh getah melibas parang dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang warga emas pada minggu lalu berbalas apabila Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman 12 bulan ke atasnya.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Rais Imran Hamid selepas tertuduh, Mohd. Rezuan Muhamad @ Yusuf, 35, mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh dituduh menakutkan secara jenayah terhadap Abdulhadee Chedah, 64, dengan cara melibas parang. Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan kedua, Mohd. Rezuan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa sama dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.






