TUMPAT: Walaupun pergerakannya atas kerusi roda terbatas, Ramlah Abdul Rahman cekal mengerah kudrat membuat pelbagai jenis kuih untuk jualan, demi menyara hidup dan membiayai pengajian anak bongsu di universiti.
Ramlah, 54, dari Kampung Bunohan, yang sudah empat tahun tidak dapat berjalan selepas menjalani pembedahan di kaki kiri akibat kencing manis, dibantu suaminya, Sudin Matsan, 63, menyediakan kuih sebelum dihantar ke dua pasar untuk dijual.
Simpanan bagi persediaan untuk anaknya, Siti Noor Hidayatul Hidayah Sudin, 20, melanjutkan pengajian sudah digunakan bagi perbelanjaan perubatannya.
Ramlah berkata, anaknya melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dalam jurusan Pendidikan Khas, namun hanya mampu membayar yuran pendaftaran sebanyak RM880.






