SIK – “Lori itu rempuh betul-betul di tempat saya menghidang nasi untuk makan tengah hari. Kalau anak tak tiba-tiba mahu muntah, mungkin kami dua beranak pun kena rempuh.”

Demikian kata Nor Amirah Mohd Latif, 38, yang nyaris maut selepas rumahnya di Kampung Betong, Jeneri, di sini dirempuh sebuah lori kira-kira pukul 12.45 tengah hari tadi.

Dalam kejadian itu, lori membawa muatan dedak haiwan dipercayai mengundur ketika berada di jalan yang agak berbukit sebelum merempuh rumah berkenaan.

Nor Amirah berkata, ketika kejadian dia bersama anak bongsunya, Afiyah Haura Herman, 5, berada di ruang dapur untuk makan tengah hari, manakala suaminya, Herman Abd Samad, 43, berada di ruang hadapan rumah.

“Sebelum kejadian, anak saya yang demam tiba-tiba mahu muntah sebelum dia berlari ke pintu belakang berhampiran dapur.