SUNGAI PETANI – Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan khas lebih RM3.8 juta bagi memastikan kelancaran operasi, peningkatan kualiti rawatan serta perolehan peralatan dan pembaikan segera di beberapa fasiliti kesihatan di daerah Kuala Muda.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM564,800 diperuntukkan untuk Klinik Kesihatan Bandar Sungai Petani yang sudah siap dan bakal beroperasi secara berfasa pada 11 Oktober ini.

“Jumlah itu merangkumi RM166,000 untuk klinik kesihatan dan RM398,800 bagi klinik pergigian di situ.

“Peruntukan tersebut adalah untuk kesiapsiagaan fasa pengoperasian awal dan peroleh aset perubatan dan sokongan tambahan menjelang pengoperasian rasmi secara berfasa pada 11 Oktober ini,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan kunjungan rasmi di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini hari ini.