KULIM – Seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun cedera parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan sekolah menengah di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.40 petang ketika waktu rehat.

Katanya, polis menerima laporan daripada seorang guru lelaki berusia 48 tahun tentang penemuan seorang pelajar dalam keadaan terbaring di lantai berhampiran tangga Blok E sekolah berkenaan.

“Pengadu kemudian pergi ke lokasi dan mendapati mangsa masih sedar serta boleh bercakap sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Kulim.

“Hasil temu bual polis dengan mangsa mendapati dia mengaku terjun sendiri dari tingkat tiga bangunan sekolah kerana mengalami tekanan berkaitan akademik,” katanya di sini hari ini.