am@hmetro.com.my

Georgetown: Penduduk sekitar Taman Tun Sardon, di sini mengeluh apabila terpaksa berdepan gangguan bekalan air sebanyak empat kali dalam tempoh beberapa minggu dipercayai susulan kejadian paip pecah ketika kerja pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) di tapak berdekatan.

Gangguan terbaru dilaporkan selama 10 jam dari jam 6 petang semalam hingga 4 pagi tadi berdasarkan notis dikeluarkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) didakwa menimbulkan kesulitan kepada penduduk khususnya mereka yang pulang bekerja pada waktu petang dan memerlukan bekalan air untuk urusan harian.

Peniaga, Siti Zubaidah Osman, 48, berkata rumahnya berdepan masalah air lebih awal iaitu sekitar jam 5 petang berbanding notis dimuat naik PBAPP di laman sosial mereka sekitar jam 6.20 petang menyebabkan mereka tidak sempat membuat persediaan menyimpan bekalan air mencukupi.