zaky@bh.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia perlu kembali menjadi seperti Sang Kancil yang bijak dan tangkas dalam mengharungi tekanan kuasa ekonomi global dengan membina daya tahan menerusi kepelbagaian sumber modal, destinasi eksport dan hubungan rantaian bekalan.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, sebagai ekonomi kecil, Malaysia tidak mempunyai ruang penampan seperti ekonomi besar yang mempunyai pasaran domestik luas dan modal awam yang mendalam untuk menyerap kejutan global.

Katanya, keadaan itu menjadikan keupayaan untuk kekal terhubung dengan dunia dan mempelbagaikan hubungan ekonomi penting dalam menghadapi perubahan kuasa global.

"Malaysia perlu menjadi Sang Kancil semula: sebuah negara perdagangan yang bijak dan saling terhubung, yang daya tahannya datang daripada keluasan, sama ada lebih banyak sumber modal, destinasi eksport atau hubungan rantaian bekalan," katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2026, hari ini.