KUALA LUMPUR: Pengarah dan pelakon, Aziz M Osman percaya peluang diberikan kepada anaknya, Puteri Nur Azzahra atau lebih mesra disapa Ara, untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) pada usia 15 tahun adalah berdasarkan kelayakan dimilikinya.

Menurut Aziz, kemasukan Ara ke IPT pada usia muda menjadi fasa baharu dalam kehidupan yang perlu ditempuh sendiri, termasuk menyesuaikan diri dengan persekitaran dan cabaran berbeza.

"Suka atau tidak, dia kena hadap proses belajar. Saya tahu evolusi dia sebagai seorang pelajar universiti. Saya tidak meletakkan dia sebagai muda atau tua.

"Kalau dia masuk universiti, maksudnya dia layak untuk berada di situ. Dia kena hadap semua itu. Malah, bukan isu muda atau tua, tetapi cabaran yang dia perlu hadapi," katanya ketika ditemui pada Majlis Khatam al-Quran, Bacaan Yasin dan Tahlil untuk Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Musolla Aisya, Titiwangsa, di sini, baru-baru ini.