amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menegaskan tindakan undang-undang tegas termasuk pendakwaan di mahkamah akan diambil terhadap pemilik tanah atau mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti tapak pelupusan sampah haram dan pembakaran terbuka di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Wandi Yadzid Yaakob berkata, sekiranya aduan diterima, pihak JAS akan segera menjalankan siasatan bagi mengenal pasti status pemilikan tanah, sama ada tanah kerajaan mahupun tanah milik peribadi.

Katanya, untuk isu itu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah Daerah (PTD) turut dimaklumkan supaya turut mengambil tindakan pencegahan seperti membina sekatan fizikal atau parit di kawasan yang dikenalpasti bagi mengekang kegiatan berkenaan di samping mengarahkan pemilik tanah menjalankan kerja-kerja pembersihan.