KUALA SELANGOR – Lambakan kira-kira 10 tan sampah haram bukan sahaja mengeluarkan bau busuk malah menjadi lokasi pembiakan tikus, ular, lalat dan nyamuk menghantui hampir 10,000 penduduk di dua taman perumahan Puncak Alam di sini.

Keadaan itu bertambah buruk selepas hujan apabila air bertakung bercampur sisa domestik, sekali gus menghasilkan bau busuk yang semakin menyengat sejak bulan lalu.

Pengerusi Persatuan Rentak Perdana, Ahmad Hosni Mubarak, 42, berkata, pihaknya mula membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada Ogos lalu selepas mendapati kawasan tersebut dijadikan lokasi pembuangan sampah.

Katanya, tindakan MPKS menyita lokasi berkenaan dan menutup laluan dengan konkrit pada awal September lalu bagaimanapun belum menyelesaikan masalah apabila masih terdapat aktiviti mengambil besi buruk di situ.