GEORGE TOWN: Pulau Pinang kekal bebas daripada sebarang laporan kes jangkitan rabies melibatkan manusia setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen bagaimanapun berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) tetap berwaspada dengan meningkatkan tahap kesiapsiagaan mereka susulan laporan bahawa terdapat jangkitan kes penyakit itu di Kedah ketika ini.

“Saya percaya kita memang sudah bersedia dan walaupun tidak ada kes jangkitan baharu dikesan di sini, tetapi, kita tetap dalam keadaan siap siaga jika terdapat sebarang insiden berkaitan,” katanya selepas menghadiri program ‘Premis Bersih, Bebas Asap’ (BeBAs) di sini, hari ini.

Jelas Daniel, kali terakhir jangkitan rabies dalam kalangan manusia dilaporkan berlaku di Pulau Pinang adalah pada 1975 iaitu melibatkan dua kes.