KUALA LUMPUR: Seorang peniaga sambilan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh pembantu rumah warga India, dua minggu lalu.

​Tertuduh, Stevent Anthony, 31, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairunissak Hassni.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki itu memandangkan kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
​
​Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Tamilarasi Kumar yang tidak diketahui usianya di sebuah kediaman di Titiwangsa, di sini, antara pukul 4 pagi hingga 10.55 pagi, 24 September lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 dan 40 tahun, jika sabit kesalahan.