KUALA LUMPUR: Peniaga didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh pembantu rumahnya yang juga warga India, dua minggu lalu.

Tertuduh, Stevent Anthony, 31, mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Khairunissak Hassni.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh wanita, Tamilarasi Kumar (tidak diketahui usia) di sebuah kediaman di Titiwangsa pada jam 4 pagi hingga 10.55 pagi, 24 September lalu.

Oleh itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau dipenjarakan antara 30 hingga 40 tahun.