KUALA LUMPUR: Kapal tempur pesisir (LSC) akan tetap dilengkapi dengan sistem persenjataan mengikut spesifikasi yang ditetapkan tanpa bergantung kepada keputusan syarikat dari Norway, Kongsberg Defence & Aerospace (KDA).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sehubungan itu, jumlah peruntukan baharu adalah diperlukan untuk menggantikan misil yang gagal dibekalkan sebelum ini.

“Maknanya, saya perlu membawa perkara ini kepada kerajaan untuk membincangkan jumlah peruntukan yang diperlukan bagi menggantikan misil yang gagal dibekalkan itu dengan misil baharu.

“Proses ini memerlukan pelbagai pertimbangan antaranya daripada segi jangka masa penghantaran serta sama ada misil baharu itu boleh diintegrasikan dengan sistem pengurusan tempur kapal yang sudah hampir siap,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Perasmian Siber Siaga di di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.