KUALA SELANGOR: Belum pun selesai isu tapak sampah haram di Kampung Seri Sentosa berhampiran Sungai Buloh, kini muncul pula kawasan baharu di kawasan perumahan di Bandar Puncak Alam dijadikan pusat pengumpulan puluhan tan metrik sisa binaan, industri dan domestik.

Keadaan itu membimbangkan hampir 10,000 penduduk di perumahan Rentak Perdana dan Ritma Perdana apabila masalah tersebut selain mencetuskan bau ia turut menyebabkan serangan lalat dan nyamuk kerana terletak pada jarak kurang dari 500 meter.

Malah, di kawasan yang asalnya merupakan ladang sawit itu kini menjadi paya apabila sisa terkumpul hari demi hari di tapak seluas hampir 1.2 hektar menyebabkan kawasan berkenaan tertambak dan tiada saliran yang baik bagi mengalirkannya takungan air.