KUALA LUMPUR – Prosiding perbicaraan kes antara Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC) dengan Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB) ditangguhkan ke pagi esok.

Keputusan tersebut dibuat selepas timbul persoalan berhubung kedudukan dua individu daripada pihak plaintif yang didakwa telah meninggal dunia.

Dua individu berkenaan ialah bekas Ketua Pengarah Felda, Datuk Ab. Ghani Mohd. Ali dan bekas Ahli Lembaga Pengarah Felda, Datuk Dr. Omar Salim.

Persoalan itu dibangkitkan pihak peguam berhubung sama ada terdapat wakil yang boleh mewakili kepentingan kedua-dua individu berkenaan dalam prosiding terbabit.

Hakim Datuk Dr. Arik Sanusi Yeop Johari kemudian mengarahkan pihak peguam berkaitan menyediakan penjelasan untuk prosiding esok, termasuk sama ada terdapat wakil yang sah atau kedudukan kedua-dua individu itu perlu digugurkan.