KUALA LUMPUR: Malaysia disaran mengembalikan kelincahan serta kebijaksanaan strategi ‘Sang Kancil’ bagi membina ketahanan ekonomi negara dalam mengendalikan gelombang tekanan dan persaingan kuasa pasaran antarabangsa.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, saiz ekonomi negara yang kecil mengehadkan keupayaan untuk menyerap sebarang kejutan luaran secara bersendirian, berbanding negara kuasa besar yang mempunyai pasaran domestik luas serta modal awam mendalam.

Justeru, beliau berkata, keupayaan untuk kekal terhubung dengan pasaran antarabangsa serta memperluas hubungan ekonomi menjadi kunci utama buat negara pada masa kini.

“Malaysia perlu menjadi Sang Kancil semula: sebuah negara perdagangan yang bijak dan saling terhubung, yang daya tahannya datang daripada keluasan, sama ada lebih banyak sumber modal, destinasi eksport atau hubungan rantaian bekalan,” katanya.