KUALA LUMPUR: BERSATU menyatakan kesediaan untuk berbincang dan memperhalusi bentuk kerjasama atau pakatan elektoral bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ia antara perkara yang diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik BERSATU yang dipengerusikan oleh Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yasin hari ini.

Mohamed Azmin berkata, keputusan itu dimuktamadkan mengambil kira semua pandangan dan analisis mengenai penyertaan BERSATU dalam PRN Melaka, termasuk meneliti pelbagai dimensi dan perkembangan politik semasa.

Selain itu, katanya ⁠BERSATU mengesahkan akan menggunakan simbolnya sendiri dalam PRN Melaka manakala jumlah kerusi dipertandingkan pula akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.