BATU PAHAT: "Kalau dia (keluarga suspek) datang, kami terima seperti tetamu lain," kata Siti Nur Faeza Khyar, 45.

Siti Nur Faeza adalah ibu saudara pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang ditemui maut dipercayai dibunuh di dalam dewan sekolahnya di Yong Peng, dekat sini, kelmarin.

Menurutnya, setakat ini mereka belum menerima sebarang panggilan atau kunjungan daripada keluarga pelajar lelaki sekelas Irene Sofiya yang ditahan polis berhubung kejadian itu.

"Setakat yang saya tahu mereka tidak datang ke sini. Kami sebenarnya masih buntu dan katakanlah kalau keluarga mereka nak datang, kami akan terima.

"Kami akan menyambut kedatangan mereka sebagaimana tetamu lain," katanya ketika ditemui di rumah ibu bapanya di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, hari ini.