PUTRAJAYA- Penangguhan cukai karbon disifatkan boleh memberi ruang sementara kepada industri terlibat untuk menyesuaikan operasi serta mengelakkan kos tambahan dalam jangka masa pendek.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Dr. Saravanan Thambirajah berkata, bagaimanapun manfaat kepada pengguna bergantung kepada sejauh mana keadaan itu membantu mengekalkan harga berpatutan.

Katanya, perlu dibezakan dua keputusan ini iaitu penangguhan cukai karbon melibatkan kos berkaitan pelepasan karbon, manakala pemberhentian pengecualian menyeluruh di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) melibatkan pematuhan industri terhadap kawalan pencemaran udara.