BENTONG: Kertas siasatan berhubung insiden membabitkan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata polis sedang menjalankan siasatan terhadap aduan berkenaan, termasuk mengambil keterangan, mengumpul bukti dan melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada AGC untuk tindakan seterusnya.

Sehubungan itu katanya, masyarakat diminta tidak menyalah tafsir kes membabitkan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain itu sehingga siasatan selesai.

Beliau berkata, AKPS ialah agensi baharu yang berusia kira-kira dua tahun dan ditubuhkan bagi menggabungkan peranan pelbagai agensi berkaitan kawalan sempadan di bawah satu entiti.