BENTONG: Kerajaan memperuntukkan RM72.115 juta bagi pelaksanaan projek membina, meroboh dan menaik taraf Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karak, di sini, yang kini siap sepenuhnya dan mampu menampung hingga 500 penghuni.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata projek itu dimulakan pada 6 Ogos 2021 dan siap sepenuhnya pada 27 Julai 2026, selepas berdepan beberapa cabaran teknikal dan operasi sepanjang tempoh pelaksanaannya.

"Sepanjang pelaksanaan, projek ini berdepan cabaran teknikal dan operasi sehingga pernah dikategorikan sebagai projek sakit serta mendapat perhatian khusus Perdana Menteri.

"Namun, melalui pemantauan berterusan dan kerjasama erat semua pihak, projek ini dapat disiapkan dan diserahkan untuk dimanfaatkan oleh masyarakat," katanya pada Majlis Penyerahan Projek Membina dan Meroboh serta Menaik Taraf PUSPEN Karak, di sini, hari ini.