BENTONG: Selepas berdepan pelbagai cabaran teknikal dan operasi sehingga pernah dikategorikan sebagai projek sakit dan mendapat perhatian khusus Perdana Menteri, Projek Membina dan Meroboh serta Menaik Taraf Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karak, di sini akhirnya disiapkan dengan kos kontrak RM72.115 juta.

Menteri Kerja Raya,  Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek yang bermula pada 6 Ogos 2021 itu siap sepenuhnya pada 27 Julai 2026 dan kini diserahkan untuk dimanfaatkan sebagai pusat rawatan dan pemulihan individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Katanya, kemudahan baharu itu mampu menampung sehingga 500 klien selain menyediakan infrastruktur lebih menyeluruh, selamat, selesa dan kondusif bagi menyokong proses rawatan serta pemulihan penghuni.