KUALA LUMPUR – Penyakit jantung iskemik (IHD) kekal menjadi punca utama kematian di Malaysia, dengan diabetes dan hipertensi merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada serangan penyakit kardiovaskular berkenaan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata data pada 2024 merekodkan sebanyak 17,421 kematian rakyat Malaysia yang berpunca daripada IHD, selain masalah paru-paru, strok dan kanser yang turut menjadi antara penyumbang tertinggi kematian dalam tempoh sama.
“Rakyat Malaysia hari ini berdepan dengan pandemik NCD (penyakit tidak berjangkit), setelah kita ditinggalkan oleh penyakit berjangkit yang namanya COVID-19, NCD ini lebih mencabar sebenarnya.
“Penyakit ini merupakan satu ancaman besar kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat kerana NCD ini telah pun berlaku dalam kalangan golongan muda dan sering tidak disedari oleh penghidapnya kerana lazimnya tidak menunjukkan gejala atau simptom sehinggalah keadaan agak parah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.






