SUBANG JAYA – Tindakan seorang individu membuat siaran langsung menerusi TikTok membawa kepada penemuan 21 botol berisi cecair disyaki air ketum di sebuah rumah di Kampung Sri Langkas, Puchong Permai, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 8.45 malam.
Katanya, maklumat yang disalurkan adalah mengenai beberapa botol berisi cecair dilihat ketika individu itu sedang membuat siaran langsung di platform tersebut.
Menurutnya, susulan maklumat itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya bersama pegawai dan anggota Balai Polis Bukit Puchong bergegas ke lokasi kira-kira pukul 9 malam.










