SEREMBAN -  Dua remaja lelaki berusia 16 tahun akan didakwa di Mahkamah Kuala Pilah, esok berhubung kes kematian seorang pelajar lelaki tingkatan dua di Kuala Pilah pada 25 September lepas.Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, dua pelajar tingkatan empat itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan."Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan arahan tuduh kedua-dua suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan."Mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah, pada 9.30 pagi esok," katanya kepada pemberita di sini hari ini.Sebelum ini, Alzafny berkata, sebanyak 69 keterangan direkodkan selain lima pelajar tampil mendakwa pernah dibuli oleh seorang daripada dua suspek tersebut.Pada 25 September, mangsa yang berusia 14 tahun dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sebelum disahkan meninggal dunia. - Bernama