Kuala Lumpur: Seorang saksi dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini menafikan bahawa pejabat Yayasan Tanah Aku di Publika, yang didakwa menjadi lokasi penyerahan wang komisen RM350,000 kepada Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, tidak wujud.

Pengarah Urusan Nexuscorpgroup Sdn Bhd (NSB) Wan Azhar Mohamed Yusof, 51, berkata demikian ketika disoal balas peguam Datuk Yaacob Md Sam mewakili Sayed Amir Muzzakkir yang berdepan tiga pertuduhan rasuah membabitkan nilai RM350,000 berhubung tender projek Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Yaacob: Saya katakan pada tuan (Wan Azhar) penyerahan wang RM100,000 pada 4 Disember 2020 dan RM250,000 pada 16 Disember 2020 kepada Sayed Amir Muzzakkir tidak berlaku kerana pejabat tersebut tidak wujud.