JOHOR BAHRU: Semua sekolah di Johor akan ditutup esok dan Jumaat ini susulan keadaan jerebu serta kemerosotan kualiti udara di seluruh negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali, berkata penutupan itu membabitkan 1,198 sekolah dengan 617,258 pelajar.
"Semua sekolah di seluruh Johor akan ditutup selama dua hari pada 8 dan 9 Oktober ini sebagai langkah berjaga-jaga demi menjaga keselamatan serta kesihatan murid," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Muhammad Naqib berkata, kerajaan negeri memahami bahawa keputusan itu mungkin memberi kesan kepada urusan ibu bapa serta penjaga yang masih perlu bekerja.
Oleh itu, beliau berkata, kerjasama dan pertimbangan majikan amat dihargai untuk memberi fleksibiliti bersesuaian kepada ibu bapa yang terkesan, termasuk pengaturan kerja yang munasabah mengikut kesesuaian organisasi masing-masing.










