KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan mekanisme perlindungan atau caruman insurans kesihatan diwajibkan bagi pelarian dan pemohon suaka yang didaftarkan melalui Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata langkah itu bagi memastikan kos rawatan mereka dilindungi selain mengurangkan tunggakan bil perubatan pesakit bukan warganegara.
Beliau berkata isu itu bukan semata-mata berpunca daripada kelemahan proses kutipan tetapi turut dipengaruhi kekangan kemampuan kewangan, ketiadaan perlindungan insurans serta pesakit meninggalkan fasiliti tanpa menjelaskan bayaran.
"Selain itu, maklumat identiti dan perhubungan yang tidak lengkap atau tidak tepat turut menyukarkan KKM mengesan pesakit dan mengambil tindakan susulan bagi tujuan kutipan," katanya ketika menggulung usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.









