KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan di bawahnya, terus memantau keadaan semasa jerebu di lokasi masing-masing bagi tindakan selanjutnya.KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, arahan itu turut melibatkan pemberhentian semua aktiviti di luar bilik darjah termasuk keramaian dan sukan di luar bangunan secara serta-merta, khususnya di kawasan dengan bacaan IPU melebihi 100."KPM sentiasa memantau dan menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, khususnya semasa menghadapi keadaan jerebu di luar jangkaan."Situasi jerebu yang melanda negara juga turut menyebabkan beberapa lokasi menunjukkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada paras tidak sihat," menurut kenyataan itu.Menurut kenyataan itu, institusi pendidikan di daerah Batu Pahat di bawah seliaan JPN Johor ditutup sementara mulai hari ini, sehingga keadaan kembali selamat dan arahan selanjutnya dikeluarkan susulan situasi semasa jerebu dan bacaan IPU yang direkodkan di kawasan itu.Sehubungan dengan penutupan itu, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan berdasarkan kesesuaian serta ketetapan semasa dengan mengambil kira faktor keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid."Berdasarkan situasi semasa jerebu dan bacaan IPU yang direkodkan di seluruh negara terkini, pihak JPN Johor telah mengambil tindakan susulan berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh KPM," menurut kenyataan itu.Menurut KPM, semua institusi pendidikan di bawahnya dinasihatkan untuk sentiasa merujuk Surat Siaran KPM Bilangan 5 Tahun 2016: Persediaan Sekolah Berhubung Penjagaan Kebajikan, Kesihatan dan Keselamatan Murid, Semasa Menghadapi Cuaca Panas dan Kering Berpanjangan bertarikh 26 April 2016, untuk tindakan sewajarnya.Selain itu, Surat Siaran KPM Bilangan 1 Tahun 2019: Langkah-langkah Kementerian Pendidikan Malaysia bagi Menjamin Kesihatan dan Keselamatan Murid di Sekolah yang Berada Dalam Kawasan Jerebu yang Dianggap Kritikal bertarikh 15 Jan 2019.KPM turut memaklumkan, JPN, PPD dan semua institusi pendidikan di bawahnya, disaran melaksanakan langkah-langkah pencegahan sebagaimana dalam garis panduan, antaranya menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas dan berjerebu serta semua sekolah yang berada dalam kawasan atau daerah yang bacaan IPU melebihi 200, hendaklah ditutup dengan serta-merta.Selain itu, memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi di institusi pendidikan bawah KPM, menggalakkan murid membawa air minuman sendiri dan minum dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan, serta sentiasa berwaspada dan bekerjasama dengan klinik atau hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat jerebu dan cuaca panas."JPN, PPD dan semua institusi pendidikan bawah KPM juga perlu peka dan memantau bacaan IPU dan status terkini melalui laman sesawang Jabatan Alam Sekitar pada pautan https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main dari semasa ke semasa, bagi menjamin kesihatan murid dan warga institusi pendidikan," menurut kenyataan itu.Semalam, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batu Pahat, mengeluarkan arahan penutupan semua sekolah, tadika dan taska di daerah itu bermula hari ini, berikutan IPU mencatat bacaan sangat tidak sihat, iaitu 203 pada 8 malam.Penutupan itu melibatkan keseluruhan 176 sekolah di bawah KPM di Batu Pahat merangkumi 144 sekolah rendah, 31 sekolah menengah dan sebuah Kolej Vokasional.Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid dalam kenyataan turut memaklumkan, sebanyak 106 Sekolah Agama Kerajaan Johor termasuk Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) serta 53 Institusi Pengajian Islam Swasta (IPIS) berdaftar di daerah Batu Pahat, turut diarahkan tutup berkuat kuasa hari ini. - Bernama