Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan di bawahnya, terus memantau keadaan semasa jerebu di lokasi masing-masing bagi tindakan selanjutnya.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan arahan itu, turut melibatkan pemberhentian semua aktiviti di luar bilik darjah termasuk keramaian dan sukan di luar bangunan secara serta-merta, khususnya di kawasan dengan bacaan IPU melebihi 100.

"KPM sentiasa memantau dan menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, khususnya semasa menghadapi keadaan jerebu di luar jangkaan.

"Situasi jerebu yang melanda negara juga turut menyebabkan beberapa lokasi menunjukkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada paras tidak sihat," menurut kenyataan itu.