PETALING JAYA – Seorang jururawat Hospital Selayang dan suaminya maut selepas motosikal dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Sungai Buloh, susur masuk ke Sierramas, petang tadi.
Mangsa, Noor Atirah Yacob, 31, dilaporkan bertugas sebagai Jururawat Terlatih di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Selayang.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan sebuah lori dan motosikal kira-kira pukul 3.50 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 2.50 petang apabila motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna coklat yang ditunggang suami Noor Atirah berusia lingkungan 30-an hilang kawalan sebelum melanggar sebuah lori.










