KOTA BHARU: Seorang jururawat parah selepas ditikam enam kali oleh suaminya di rumah mereka di Kampung Padang Lepai, dekat Kadok, di sini, malam kelmarin.
Mangsa berusia 44 tahun itu mengalami kecederaan tikaman pada badan dan leher dan kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Susulan kejadian itu, polis menahan suami mangsa berusia 47 tahun selepas lelaki berkenaan menyerah diri.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri, ketika dihubungi mengesahkan kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 8.30 malam.
Beliau berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada malam sama.








