KUALA PILAH: Polis akan merujuk kertas siasatan kes kematian seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah di daerah ini kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin, berkata setakat ini belum ada ketetapan untuk mendakwa mana-mana suspek di mahkamah dan pihaknya masih menunggu arahan lanjut selepas kertas siasatan dirujuk kepada AGC.
"Kes membabitkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di sebuah sekolah di Kuala Pilah bulan lalu, setakat ini belum ada keputusan tarikh untuk menuduh suspek," katanya ketika dihubungi hari ini.
Muhammad Idlan Fareeq Shahril dilaporkan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di asrama sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah pada jam 8 malam, 25 September lalu.









