PUTRAJAYA - Sindiket penipuan warga asing yang digempur selepas menjadikan sebuah pusat peranginan terbiar di Sungai Lembing Pahang sebagai markas, dikesan pernah beroperasi di negara lain sebelum berpindah ke Malaysia.Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, siasatan mendapati sindiket itu dipercayai pernah beroperasi di dua negara lain."Berdasarkan butiran pasport, anggota sindiket berkenaan pernah berada di Kemboja dan Vietnam."Mereka dipercayai berpangkalan di Kemboja selama kira-kira sembilan bulan sebelum datang ke Malaysia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.Zakaria berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) bagi menyiasat lebih lanjut operasi sindiket penipuan warga asing yang beroperasi di sebuah pusat peranginan di Sungai Lembing, Pahang."Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang melaksanakan siasatan berkaitan sindiket berkenaan sebelum menyerahkan kepada JSJK."Kita juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menjalankan siasatan lanjut serta mengenal pasti jenis penipuan yang dijalankan oleh pusat panggilan itu," katanya.Tambahnya, pihak penyiasat akan meneliti sama ada terdapat warga asing yang ditahan sebenarnya menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan sebelum dipaksa bekerja di pusat panggilan berkenaan."Kita juga mahu mengenal pasti sama ada terdapat suspek yang terbabit merupakan mangsa sindiket penipuan pekerjaan dan dipaksa bekerja untuk sindiket berkenaan," katanya.Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sebuah pusat peranginan yang telah ditutup itu dipercayai dijadikan pusat panggilan penipuan beroperasi 24 jam, dengan ahli sindiket warga asing tinggal dan bekerja di premis berkenaan mengikut sistem syif.Zakaria dilaporkan berkata, operasi yang bermula kira-kira jam 12.50 tengah hari pada Isnin dijalankan hasil risikan selama sebulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.Seramai 95 warga asing dipercayai ahli sindiket penipuan ditahan terdiri daripada 84 lelaki dan empat wanita warga China, masing-masing seorang lelaki dan wanita warga Myanmar serta seorang wanita dari Indonesia, Hong Kong, Vietnam, Kemboja dan Rusia.Turut ditahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai pemilik pusat peranginan berkenaan serta seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang dipercayai bekerja di premis tersebut.Pasukan operasi menyita 49 pasport China, masing-masing satu pasport Myanmar, Kemboja, Indonesia, Hong Kong dan Rusia serta satu Surat Perjalanan Laksana Pasport Indonesia (SPLP)," katanya.Beliau berkata, turut disita 100 telefon bimbit, 120 set komputer meja, satu set kamera litar tertutup, sembilan bungkus kad SIM yang belum digunakan serta wang tunai RM5,000.Sebanyak 11 set peralatan Starlink yang dipercayai digunakan sebagai talian internet untuk kegiatan tersebut turut disita.