PUTRAJAYA – Pusat pentadbiran negara diselubungi jerebu pada pagi Rabu apabila bangunan dan kawasan sekitar Putrajaya kelihatan kabur susulan kemerosotan kualiti udara.Keadaan itu jelas kelihatan menerusi pemandangan dari Pejabat Perdana Menteri apabila deretan bangunan kerajaan serta jalan utama di sekitar pusat pentadbiran negara dilitupi jerebu sehingga menjejaskan jarak penglihatan.Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Putrajaya turut menunjukkan keadaan tidak sihat apabila merekodkan bacaan 187 pada jam 11 pagi, meningkat secara berterusan daripada 183 pada jam 6 pagi.Rekod pemantauan menunjukkan bacaan IPU di Putrajaya mula meningkat sejak awal pagi, daripada 175 pada tengah malam kepada 180 pada jam 3 pagi, sebelum mencecah 183 pada jam 6 pagi dan 187 pada jam 11 pagi.Keadaan tersebut didominasi oleh pencemar PM2.5 dengan kepekatan direkodkan pada paras 125.5 mikrogram per meter padu pada jam 6 pagi ketika IPU berada pada bacaan 183.Putrajaya bukan satu-satunya kawasan terjejas apabila beberapa lokasi di Lembah Klang turut merekodkan bacaan IPU dalam kategori tidak sihat, termasuk Cheras dan Johan Setia.Sementara itu, ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan keadaan berjerebu dijangka berterusan di Putrajaya pada waktu pagi dan malam hari ini serta esok.Pada sebelah petang, ribut petir diramalkan berlaku di beberapa kawasan di Putrajaya.Keadaan jerebu yang menyelubungi pusat pentadbiran negara itu turut menggambarkan kemerosotan kualiti udara yang ketara apabila bangunan yang lazimnya dapat dilihat dengan jelas dari kawasan Pejabat Perdana Menteri menjadi samar di sebalik lapisan jerebu.Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai penyakit jantung atau paru-paru, disaran mengehadkan aktiviti luar ketika bacaan pencemaran udara berada pada tahap tidak sihat.