nuratikah@bh.com.my

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merekodkan 84 tangkapan membabitkan kegiatan ulat parkir di 49 lokasi sekitar ibu negara, setakat ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, operasi membanteras kegiatan itu dijalankan secara berterusan, termasuk di lokasi yang dikenal pasti mempunyai aktiviti ulat parkir.

"Sebenarnya operasi kita jalankan secara berterusan, ada kala apabila penguat kuasa kita turun, ulat parkir sempat lari.

"Ada kalanya mereka ini ramai. Jadi, apabila kita tangkap seorang, ada yang lain pula. Tetapi operasi di 49 lokasi dan tangkapan akan terus kita laksanakan dari semasa ke semasa," katanya pada sidang media di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari, di sini, hari ini.