KUALA LUMPUR: Selepas lebih dua dekad menabur bakti dalam pembangunan berbasikal Malaysia, John Beasley meluahkan penghargaan khusus buat bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang disifatkannya antara pemimpin terbaik pernah menaungi kerjayanya di negara ini.

Pengarah teknikal skuad berbasikal trek kebangsaan itu berkata, Hannah memainkan peranan besar dalam membina momentum yang menyumbang kepada kejayaan kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Nagoya, selain sentiasa memberi kepercayaan kepada jurulatih dan pegawai sokongan.

"Hannah, anda adalah Menteri Belia dan Sukan yang luar biasa. Saya benar-benar sedih apabila mendapat tahu anda akan meninggalkan portfolio itu, walaupun pada masa sama saya gembira apabila usaha anda diiktiraf dengan tanggungjawab penting yang baharu," katanya menerusi hantaran di Facebook.