KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) terus berunding dengan pemegang hak karya seniman agung Tan Sri P. Ramlee bagi mendapatkan salinan karya beliau untuk tujuan pemeliharaan.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, usaha menghubungi pemegang hak telah dilakukan, termasuk dengan Shaw Brothers di Singapura yang memberikan maklum balas kepada Finas bulan lepas.

“Rundingan ini masih diteruskan kerana antaranya juga ada permintaan daripada pemegang hak tersebut, kita juga baru terima maklum balas daripada Shaw Brothers, pejabat mereka di Singapura,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang ingin tahu sama ada kementerian telah menjalankan audit menyeluruh bagi mengenal pasti hak berkaitan karya P. Ramlee yang masih dimiliki pihak tertentu serta jumlah bahan asal filem yang perlu segera direstorasi.