PETALING JAYA: Malaysia perlu menerajui usaha antarabangsa menerusi Resolusi Perhimpunan Agung PBB bersama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) bagi menggerakkan tindakan bersama terhadap krisis serta keadilan di Palestin.
Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd. Amin berkata, usaha berkenaan penting selepas Majlis Keselamatan PBB dilihat gagal bertindak berikutan penggunaan kuasa veto.
“Malaysia mempunyai kedudukan diplomatik dan moral yang kukuh untuk membina kerjasama dengan negara lain bagi menterjemahkan undang-undang antarabangsa kepada tindakan melindungi orang awam, menyalurkan bantuan kemanusiaan dan memastikan akauntabiliti,” katanya dalam kenyataan hari ini.








