KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung kini sebaik saja memperoleh kelulusan Kabinet, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Katanya, penggubalan RUU itu secara dasarnya telah mendapat persetujuan prinsip Jemaah Menteri.

Selain itu, beliau berkata, sesi libat urus bersama kerajaan negeri, khususnya Sabah dan Sarawak, juga selesai dilaksanakan bagi memastikan hak serta kedaulatan perundangan negeri terus terpelihara.

"Sekiranya mendapat 'lampu hijau' atau kelulusan, kita akan memaklumkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat supaya RUU ini boleh dibentangkan pada sesi yang sedang berlangsung sekarang," katanya.