GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menangguhkan prosiding perbicaraan pembelaan empat lelaki yang didakwa membunuh remaja, T Nhaveen, ke esok.
Hakim Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid membenar serta menetapkan prosiding disambung pada jam 9.30 pagi esok selepas pihak pembelaan memohon penangguhan kerana memerlukan masa susulan penyerahan empat penyata saksi kepada pihak pendakwaan, hari ini.
Peguam, Maanveer Singh Dhillon yang mewakili keempat-empat tertuduh, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan mempunyai masa terhad untuk bertemu tertuduh di penjara bagi menyediakan penyata saksi berkenaan.
"Kita baru saja memuktamadkan penyataan saksi bertulis dan penyataan itu sudah siap. Kita akan serahkan kepada pihak pendakwaan, hari ini," katanya.









