KUALA LUMPUR: Sebarang usaha untuk menghentikan peranan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam pendaftaran pelarian di negara ini perlu dibuat menerusi rundingan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, peranan yang dimainkan UNHCR ketika ini merupakan isu legasi yang dibenarkan secara rasmi oleh kerajaan terdahulu dan sebarang pindaan peraturan mengenainya akan mengambil masa.

"Ini memerlukan proses rundingan dengan PBB supaya kita tidak dilihat mengenepikan peraturan antarabangsa.

"Bagaimanapun, saya setuju sebenarnya tindakan dan keputusan yang tegas harus diambil kerana urusan negara kita harus oleh jentera kita sendiri, tidak diatur oleh pegawai dari luar, yang mengatur siapa yang layak, siapa yang tidak layak (mendapat status pelarian)," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.