KUALA LUMPUR: Selepas melalui tempoh prestasi agak merudum, Lee Zii Jia membuka saingan Terbuka Artik dengan langkah meyakinkan apabila mudah melangkah ke undian utama kejohanan berstatus Super 500 itu di Vantaa, Finland, hari ini.

Pemain perseorangan lelaki profesional negara yang menghuni ranking ke-56 dunia itu menyingkirkan wakil tuan rumah, Kalle Koljonen, 21-12, 21-15 dalam aksi kelayakan di Vantaa Energia Areena.

Zii Jia tidak berdepan masalah untuk mengawal permainan sejak awal apabila menguasai rentak perlawanan sebelum memastikan kemenangan dalam tempoh selesa ke atas pemain ranking ke-66 dunia itu.

Kemenangan berkenaan hadir selepas pemain kelahiran Alor Setar itu melalui aksi mengecewakan pada Terbuka Vietnam peringkat Super 100 bulan lalu apabila tersingkir di pusingan kedua selepas tewas kepada pemain Taiwan, Wu Zhe Ying yang ketika itu menghuni ranking ke-90 dunia.