KUALA LUMPUR: Perkembangan pusat data, taman perindustrian, hab logistik dan projek tenaga boleh baharu dijangka meningkatkan tekanan terhadap penggunaan tanah termasuk kawasan tanaman kelapa sawit di Malaysia, demikian menurut Prof Dr Ong Kian Ming.

Profesor Adjung Taylor's University itu berkata, peningkatan permintaan tanah bagi pembangunan berkenaan perlu seiring dengan keperluan meningkatkan produktiviti di kawasan tanaman sawit sedia ada.

Beliau berkata, perkembangan pusat data dan taman perindustrian khususnya dijangka terus mendapat momentum susulan peningkatan pelaburan pembuatan serta strategi China+1 dan Taiwan+1 yang mendorong syarikat memperluas operasi ke Asia Tenggara.

"Dengan adanya pusat data, hab logistik, taman perindustrian dan ladang solar, tekanan terhadap tanah akan meningkat," katanya ketika membentangkan kertas pleno bertajuk 'Geopolitics, Trade Realignment and Economic Resilience: Positioning Malaysia in a Fragmented Global Economy' pada Forum Minyak Sawit Malaysia (MPOF) Kuala Lumpur 2026, di sini, hari ini.