PARIT – Dua lelaki masing-masing didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencuri kabel pada bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Halim Hussin, 38, dan Mohamad Solihin Tajudin, 35, juga berdepan hukuman penjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman itu dijatuhkan selepas kedua-dua tertuduh membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, kedua-dua lelaki itu didakwa mencuri dua gulung kabel berwarna hitam milik Telekom Malaysia Berhad dalam dua kejadian berasingan pada 30 September 2026.
Pertuduhan pertama menyatakan kejadian berlaku kira-kira pukul 1 pagi di tepi jalan Batu 7, Kampung Senin manakala pertuduhan kedua berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi di tepi jalan berhampiran perhentian bas, Jalan Seputeh di dalam daerah Perak Tengah.









