SEREMBAN – Sepuluh bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban ekoran pembatalan lantikan yang dikenakan ke atas mereka.

Kesemua plaintif menamakan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan sebagai defendan dalam tindakan undang-undang tersebut.

Menerusi saman berkenaan, mereka memohon Mahkamah Tinggi mengisytiharkan pembatalan pelantikan yang diwartakan pada 24 September lalu sebagai batal, tidak sah dan tidak mempunyai kuat kuasa.

Saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak pada 5 Oktober lalu.

Mereka antaranya mempersoalkan sama ada pelantikan Exco, selain Menteri Besar, boleh dibatalkan melalui penarikan balik perkenan Yang di-Pertuan Besar secara bersendirian tanpa nasihat Menteri Besar.