KUALA LUMPUR: Kad Kredit-i Maybank Islamic Nadi Mastercard kini dibuka untuk permohonan di seluruh negara, menawarkan penyelesaian kredit patuh Syariah kepada pelanggan yang layak bagi memenuhi keperluan kewangan harian dengan kadar keuntungan tetap 14 peratus setahun.

Maybank Islamic dalam kenyataan hari ini berkata, kad berkenaan yang pertama kali diumumkan pada Julai lalu, direka dengan ciri yang ringkas serta mudah difahami dan diurus pelanggan.

Menurutnya, antara ciri utama kad itu adalah kadar keuntungan tetap 14 peratus setahun, tiada yuran tahunan dan tiada pengkompaunan caj keuntungan.

Kad berkenaan turut memberikan akses kepada lebih 1,000 keistimewaan peniaga di seluruh rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perbankan Islam dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Mohamad Yasin Abdullah, berkata pihaknya memberi tumpuan kepada penyediaan kad kredit yang boleh digunakan pelanggan dengan lebih yakin.