PETALING JAYA: Belanjawan 2027 berpotensi mengelakkan rumah mampu milik bernilai hampir RM1.8 bilion daripada terus tidak berpenghuni menerusi pelaksanaan Dasar Perumahan Negara (DRN) baharu yang menggalakkan pembangunan berasaskan data.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, belanjawan itu merupakan yang pertama selepas pelancaran DRN baharu untuk tempoh 10 tahun pada Ogos lalu dan bakal menjadi asas kepada pelaksanaan dasar berkenaan bagi tahun-tahun seterusnya.

“Bagi perumahan mampu milik, Belanjawan 2027 adalah yang paling penting. Belanjawan pertama selepas pelancaran DRN baharu ini akan menjadi asas kepada lapan bajet yang akan datang.

“Dasar baharu amat penting bagi perumahan mampu milik kerana ia bertujuan meningkatkan bekalan dengan ketara selain menangani beberapa cabaran berterusan yang dihadapi pasaran perumahan,” katanya dalam kenyataan.