KULIM: Pelajar lelaki berusia 13 tahun parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah menengah di daerah ini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang ketika waktu rehat.

Beliau berkata, polis menerima laporan daripada guru lelaki berusia 48 tahun mengenai penemuan pelajar dalam keadaan terbaring di lantai berhampiran tangga Blok E sekolah berkenaan.

"Pengadu kemudian pergi ke lokasi dan mendapati mangsa masih sedar serta boleh bercakap sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Kulim.

"Hasil temu bual polis dengan mangsa mendapati dia mengaku terjun sendiri dari tingkat tiga bangunan sekolah kerana mengalami tekanan berkaitan akademik," katanya, di sini hari ini.